19 August 2012

Siapa makan cili, terasalah pedasnya


Siri 9. Pokemen (Poket Menteri)

Jengkal dan Kerteng adalah dua buah negara berjiran. Kedua-dua negara berhubung erat dalam banyak urusan. Landar dan Mangkar adalah menteri di kedua-dua negara. Kedua-dua mereka saling berhubung dan kunjung mengunjungi.
Setelah sekian lama tidak menjemput Mangkar kenegaranya, Landar mengundang Mangkar untuk memperlihatkan pembangunan yang diusahakannya.

Setiba di Jengkal, Landar menjemput  Mangkar kerumahnya. Alangkah terkejut bila dilihat rumah menteri Landar itu bertingkat-bertingkat  dipuncak bukit. Disekeliling rumahnya itu tebing tinggi yang berkehijauan dengan pokok. Pemandangannya sayup keseluruh wilayah. Dari anjung rumahnya itu,Landar menunjukan sebuah jambatan panjang yang merentasi sungai. Mangkar mengangguk tanda nampak. Projek ini baik untuk rakyat dan belanjanya pun besar. Mangkar dari negara Kerteng bertanya berapakah belanjanya. Landar kata berapa besar belanjanya tak penting, yang pentingnya separuh dari jumlahnya masuk kepoketnya, dia menepuk-nepuk poket didadanya sambil ketawa sinis lagak orang kaya. Tawanya itu terus disambut Mangkar dan keduanya ketawa berderai-derai.

Setelah berbulan berlalu, kini giliran Mangkar menteri negara Kerteng pula menjemput Landar dari Jengkal mengunjunginya. Alangkah terkejutnya bila dilihat rumah Mangkar lebih besar dari rumahnya.  Tiga tingkat keatas dan tiga tingkat dibawah tanah. Sekelilingnya laut yang biru. Dari anjung rumahnya itu kelihatan pulau-pulau kecil tempat peranginan. Mangkar menunjukkan teluk dihujung sana. Dia bertanya samaada Landar nampak  kompleks jeti di teluk itu. Katanya komples itu sepatutnya baik untuk orang ramai dan nelayan. 

Puas Landar mengejap-ngejap kan matanya mencari kompleks jeti itu. Landar memberitahu dia tidak nampak komples jeti itu. Mangkar kata memanglah tiada kompleks itu kerana semua wang belanjanya sudah masuk poketnya, dia menepuk-nepuk poket didadanya sambil ketawa sinis lagak orang kaya. Tawanya itu terus disambut Landar dan keduanya ketawa berderai-derai.

No comments: