22 June 2012

Siapa makan cili,terasa lah pedasnya


Siri 6. Kapitan Kapital

Disebuah negeri dihujung benua, rakyatnya aman, hidup dengan ehsan, lautnya banyak hasil dan mutiara. Pemerintahnya bernama Ridzuan Naim. Ekonominya berteraskan rakyat. Slogannya, "yang susah dibantu, yang kaya buat kebajikan".

Melihatkan sejahteraan negara tersebut, pemerintah dari benua asing tidak senang melihatnya kerana cara pemerintahannya tidak mengikut acuan mereka. Bagaimana mungkin mereka dapat menggembirakan rakyat, fikir pemimpin dari benua asing yang bertunjangkan "untung setinggi langit diutamakan, sejahtera rakyat hanya dilangit-langit".

Pemikiran pemimpin benua asing tersebut jauh menyimpang kerana kitab mereka ditulis oleh Professor Judah Benjamin dari Universiti Sai-Nai. Sistem kesejahteraan mereka berlandaskan "modal itu raja", tetapi untuk mengelabui orang ramai mereka kata "pembeli itu raja".


Jadi untuk menyalurkan dan menyuburkann idea-idea "modal itu raja", tetapi bertopengkan "pembeli itu raja" mereka telah menghantar kapitan-kapitan perusahaan mereka untuk menabur modal dinegeri Ridzuan Naim yang aman dan ehsan itu. Untuk memudahkan lagi, mereka melantik dikalangan rakyat negeri itu sendiri mengepalai perusahaan bagi pihak mereka sebagai Kapitan Kapital.

Maka berbondong-bondonglah perusahaan dari benua asing datang kononnya untuk merancakkan perdagangan. Namun jauh disudut hati, mereka sebenarnya ingin memporak perandakan sistem "yang susah dibantu, yang kaya buat kebajikan", dan diganti dengan sistem "untung setinggi langit diutamakan, sejahtera rakyat hanya dilangit-langit".

Lama selepas kedatangan perusahaan dari para kapitalis benua tersebut, kelihatan indeks ekonomi negara dibawah perintah Ridzuan Naim itu meningkat. Ini menggembirakan beliau. Rakyatnya kini bertambah kaya, rumah besar, tanah besar, kenderaan besar.

Namun kata bijak pandai dan penasihat Ridzuan Naim, keadaan ini bahaya kerana kesenangan rakyat pada hakikatnya adalah palsu. Ridzuan Naim bertanya mengapa jadi palsu. Bijak pandai mengatakan, semua harta benda yang dibeli adalah hutang, bukan milik mereka sepenuhnya. Mereka pula bekerja dengan perusahaan asing. Jika perusahaan asing itu tutup dan balik kenegeri mereka, rakyat akan hilang kerja dan bagaimana mereka nak bayar hutang. Jadi kekayaan mereka hanya diatas kertas, palsu belaka. Hutang itu pula ada kadar faedahnya, faedah yang langsung tak membawa faedah. Istilah yang tepat adalah beban, makin lama semakin banyak bebannya. Jika orang ramai tak dapat bayar hutang, peminjam wang akan rampas harta mereka. Peminjam wang ini juga pedagang. Mereka berdagang wang ringgit, berasal usul dari benua asing itu. Lama kelamaan ramai rakyat jadi muflis, dagangan jadi lembap , orang ramai tertindas dan akhirnya negara tergadai.

Ridzuan Naim terdiam, matanya memandang jauh, terbayang olehnya sengsara yang bakal ditanggung rakyat, rakyat yang muflis dan tak bekerja akan jadi peminta sedekah, anak-anak mereka yang bersekolah akan turut mengemis. Rumah besar mereka akan dirampas dan dilelong. Dahulu mereka tidak pernah gagal melunaskan hutang, kini jika tidak bayar empat puluh lima hari saja, kenderaan dan rumah mereka akan dirampas dan dilelong tanpa mengambil kira kesukaran yang mereka hadapi.



Bahan makanan akan jadi mahal kerana pedagang asing telah memonopolinya. Banyak sawah dan tanah subur tidak diusahakan kerana tiada modal untuk mengusahakannya. Pedagang asing itu pula tidak mahu beri pinjaman untuk pertanian. Risiko tinggi katanya. Semakin lama, keadaan kewangan dan makan minum rakyat makin menghimpit. Akhirnya slogan "pembeli itu raja" akan bertukar jadi "pembeli itu hamba". Itulah matlamat azali mereka.
Muslihat pedagang asing yang berpengkalan di Juru Selam untuk memporak perandakan sistem "yang susah dibantu, yang kaya buat kebajikan", telah dibongkar oleh bijak pandai. Walaupun namanya Juru Selam, namun tiada satu pun pusat latihan menyelam di situ.

Pada masa yang sama ketua pedagang asing itu bersekongkol dengan jiran sekitar negara Ridzuan Naim. Pemerintah negara-negara jiran itu sememangnya menyanjung falsafah "untung setinggi langit diutamakan, sejahtera rakyat hanya dilangit-langit".

Bahkan bermacam sabotaj yang mereka lakukan untuk menyekat kemakmuran negara Ridzuan Naim. Agen dihantar untuk mengintip. Berita palsu disebar untuk melaga-lagakan. Perjanjian dagangan dicabuli. Hasil galian dicuri. Hak orang dinafi. Maruah orang dibeli. Yang lemah dibuli.

Kini Ridzuan Naim harus mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk tidak bergantung pada pedagang asing kapitalis. Berkumpul lah bijak pandai negara Ridzuan Naim berbincang untuk menyelamatkan negara.

Kata sepakat dicapai, Ridzuan Naim menghantar utusan ke Negara Seratus Dinasti dan Negara Tanduk Emas. Mereka ini mempunyai sejarah yang baik kerana mereka suka berdagang dan menghormati kedaulatan negara. Mereka juga menyanjung prinsip "yang susah dibantu, yang kaya buat kebajikan". Negara-negara ini sedang berjuang untuk memecahkan sistem “New World Order”.