06 May 2011

Sun Tzu: The Art of War (Bab 2, terjemahan Bahasa Melayu)

Sun Tzu
The Art of War
(terjemahan Bahasa Melayu oleh Mubaraq Abdullah ar-Rawi)
Sun Tzu
Seni Perang
Bab 2/13
Melaksanakan Pertempuran
Li Quan » Pertama, siapkan rancangan kamu, kemudian sediakan kelengkapan. Inilah sebabnya bab pertempuran menyusuli bab penilaian strategik.
(2.1) Master Sun
Bila kamu bertempur, walaupun kamu sedang menang, (tetapi) jika berterusan terlalu lama ia akan melunturkan tenaga kamu dan menumpulkan pedang; jika kamu mengepung kubu kota, kamu akan keletihan. Jika kamu membiarkan tentera kamu dimedan (perang) terlalu lama, bekalan kamu tidak akan mencukupi.
Jia Lin » Walaupun kamu mengatasi yang lain dalam pertempuran, jika ia berterusan terlalu lama, tiada untungya. Dalam operasi ketenteraan, kemenangan total adalah penting, jika tenaga kamu luntur dan serangan kamu tumpul, korban bertambah dan pertempuran jadi sengit, kamu akan kepenatan.
Zhang Yu » Jika kamu membelanjakan wang yang banyak dalam operasi ketenteraan, tentera kamu pula terlalu lama di medan perang, peruntukan kewangan kamu tidak akan cukup untuk menampung perbelanjaan.
Li Quan » Dalam sebuah karya klasik 'Hikayat Musim Bunga dan Luruh' ada menyebut "perang itu umpama api, jika tak dipadamkan, kelak membakar dirinya sendiri."
Jia Lin » Jika operasi ketenteraan berlarutan tanpa mendatangkan hasil, lawan kamu akan mula mendapat idea.
Du You » Senjata itu buruk padahnya - menggunakannya untuk tempoh yang panjang akan membawa musibah. Pernah disebut "mereka yang suka berlawan dan terlalu penat, tentera mereka tak dapat dielakkan dari kemusnahan"
(2.2) Master Sun
Bila tenaga kamu luntur, serangan kamu tumpul, kekuatan kamu akan luluh, dan bekalan kamu kehabisan, orang lain akan mengambil kesempatan keatas kelemahan kamu dan bangkit melawan. Walaupun kamu mempunyai penasihat yang bijak namun akhirnya kamu tidak lagi boleh memperbaiki keadaan.
Li Quan » Operasi berskala besar melibatkan belanja yang sangat besar, yang bukan setakat menggagalkan kamu dimedan perang tetapi juga negara kamu juga akan kehabisan (sumber). Sebab itu kerajaan yang bijak, tidak membiarkan tentera mereka lama di medan perang.
(2.3) Master Sun
Lantaran itu saya pernah mendengar operasi ketenteraan yang cemerkap tetapi tangkas, tetapi tidak pula saya dengar (tentera) yang mahir dan bertahan lama. Ianya tidak membawa kebaikan pada negara bila operasi ketenteraan berlanjutan untuk masa yang lama.
Cao Cao » Ada yang menang menggunakan kepantasan walaupun mereka cemerkap.
Du Mu » Ada yang cemerkap bila menyerang, tetapi mereka mendapat kelebihan melalui ketangkasan yang luarbiasa, sebab mereka tidak mempedulikan masalah kepenatan dan kehabisan sumber (bekalan).
Chen Hao » Pepatah menyebut, 'tangkas seperti guruh yang berdentum sebelum sempat kamu menutup telinga, pantas seperti petir yang berkilat sebelum sempat mengerdipkan mata'.
(2.4) Master Sun
Lantaran itu, mereka yang tidak faham sepenuhnya perihal kelemahan menggunakan senjata, tidak akan faham sepenuhnya kelebihan menggunakan senjata.
Li Quan » Kelebihan dan kelemahan saling berkait – pertama ketahui kelemahannya kemudian ketahui kelebihannya.
Jia Lin » Dikala jeneral-jeneral menjadi angkuh dan tentera menjadi malas, dalam ketamakan mereka mencari keuntungan, mereka lupa mungkin akan terjadi perkara yang tak diduga - inilah kelemahan yang terbesar.
Du You » Ini bermaksud jika kamu merancang untuk menggerakan angkatan kamu dan bersedia untuk kempen, jika kamu tidak memikirkan bahana musibah dan kemusnahan terlebih dahulu, kamu tidak akan berupaya memperolehi sebarang kelebihan.
(2.5) Master Sun
Mereka yang mengendalikan ketenteraan dengan cekap tidak akan menambah bilangan pasukan dua kali dan tidak membekalkan makanan tiga kali.
Cao Cao » Ini bermaksud kamu mengerahkan rakyat untuk berkhidmat hanya sekali dan terus mencapai kemenangan - kamu tidak balik kenegeri asal meminta pasukan tambahan untuk kali kedua.
Pertama sekali, kamu bekalkan makanan, selepas itu kamu sekat makanan musuh; dan apabila tentera kamu pulang ke negeri, jangan sambut mereka dengan makanan pecuma lagi.
Du Mu » Pastikan samaada serangan keatas musuh boleh berjaya, pastikan samaada kamu boleh bertempur , dan justeru itu kumpulkan pasukan - kemudian kamu boleh tundukan musuh dan pulang.
Li Quan » Jangan kumpulkan bala tentera dua kali, kelak rakyat akan keletihan dan timbul persengketaan.
(2.6) Master Sun
Dengan membawa kelengkapan dari negeri kamu tetapi menyekat makanan musuh , senjata dan bekalan kamu akan mencukupi
Cao Cao » Bila kamu hendak pergi berperang, pertama kamu mesti buat perkiraan perbelanjaan dan usahakan untuk memutuskan bekalan makanan pihak lawan.
Li Quan » Jika kamu mempunyai senjata sendiri dan ambil makanan dari musuh kamu, kemudian walaupun kempen itu membawa kamu ke tempat yang jauh kamu tidak akan kekurangan apa-apa pun.
Cao Cao » Persenjataan dibawa dari negeri, bekalan makanan diambil dari pihak musuh.
(2.7) Master Sun
Bila negara menjadi miskin kerana operasi ketenteraan, ianya kerana menghantar bekalan ketempat yang jauh. Menghantar bekalan ke tempat yang jauh, dan rakyat jelata akan miskin.
Li Quan » Pasukan (tentera) yang dikumpulkan berulang kali, dan kerahan tenaga menjadi berat.
Du Mu » Master Guan berkata, "bila bekalan menjangkau tiga ratus batu, negara akan putus bekalan setahun;bila bekalan menjangkau empat ratus batu, negara putus bekalan untuk dua tahun; bila bekalan menjangkau lima ratus batu,rakyat diancam kebuluran."
Ini bermaksud bekalan tidak sepatutnya dihantar, ini akan menyebabkan pengeluar akan kerugian, jadi mereka tidak berupaya lantas menjadi miskin.
Jia Lin » Menghantar bekalan ke tempat yang jauh bermakna banyak wang dibelanjakan dalam perjalanan dan habis dibelanjakan untuk pengangkutan, dengan itu rakyat jelata akan bertambah miskin hari ke hari.
Zhang Yu » Bila tujuh ratus ribu keluarga harus membiayai seratus ribu tentera dalam ekspedisi yang jauh, rakyat jelata tidak dapat mengelak dari jadi papa.
(2.8) Master Sun
Mereka yang berdekatan dengan tentera , menjual pada harga tinggi. Disebabkan harga yang tinggi, hartabenda rakyat jelata habis.
Cao Cao » Bila tentera pergi ke perbatasan, mereka yang hampir dengan tentera, tamak pada wang, menjual pada harga tinggi. Lantaran itu rakyat jelata akan jadi miskin.
Li Quan » Perniagaan akan ada berhampiran dimana tentera berada, rakyat jelata akan kehilangan hartabenda kerana terpaksa mengikut keadaan, dan justeru itu jatuh miskin.
Jia Lin » Dimana saja pasukan (tentera) berkumpul, harga barang akan naik. Disebabkan ada orang yang tamak untuk mengaut untung berlebihan, mereka menjual kesemua barangan. Walaupun pada mulanya mereka mendapat untung besar , akhirnya mereka kehabisan barang keperluan. Begitu juga, disebabkan adanya kerahan tenaga yang luarbiasa, mereka yang punya sesuatu untuk dijual akan meletak harga paling tinggi yang boleh diperolehi; rakyat jelata akan jadi papa untuk beli barang, lantas negara akan jadi miskin dengan sendirinya.
Wang Xi » Apabila bekalan dibawa ketempat yang jauh , rakyat akan sengsara kerana berkorban. Pasar-pasar yang berdekatan dengan tentera, harga barangan melambung tinggi. Lantaran itu, kempen tentera yang berpanjangan merupakan satu derita kepada negara.
(2.9) Master Sun
Apabila sumber telah kehabisan,kerahan tenaga akan menjadi tertekan. Apabila tenaga dan sumber kehabisan, kemudian tanahair jadi muflis. Rakyat jelata akan kehilangan tujuh puluh peratus dari perbelanjaan mereka , manakala jumlah perbelanjaan kerajaan untuk kelengkapan menjangkau enam puluh peratus dari belanjawan.
Du Mu » Jika situasi ketenteraan tidak diselesaikan dan tentera tidak dibubarkan lagi, kerahan tenaga akan menjadi bertambah menekan , mengakibatkan kehabisan sumber yang dihasilkan rakyat, dengan itu mereka akan kehilangan hampir semua yang dihasilkan.
Ho Yanxi » Rakyat adalah asas sesebuah negara, makanan adalah nikmat untuk rakyat. Mereka yang memerintah yang lain harus menghormati perkara ini dan amalkan berjimat.
Mei Yaochen » Rakyat jelata menyediakan barangan, makanan dan tenaga untuk kegunaan ketenteraan, mereka kehilangan hampir keseluruhan asas kehidupan, sementara kerajaan menyediakan kelengkapan untuk ketenteraan, dengan demikian kehilangan lebih separuh dari belanjawan. Lantaran itu cukai akan habis digunakan, tentera akan kehabisan upaya dan rakyat jelata akan putus asa. Apabila kerahan tenaga menjadi penindasan dan rakyat jadi papa , negara jadi muflis.
(2.10) Master Sun
Kerana itu jeneral yang pintar berusaha untuk memintas bekalan musuh. Setiap paun makanan yang diambi dari musuh, bersamaan dua puluh paun untuk kamu.
Cao Cai » Pengangkutan bekalan makanan bernilai dua puluh kali ganda dari jumlah yang diangkut.
Zhang Yu » Ia mengambil dua puluh paun bekalan untuk menghantar satu paun bekalan untuk tentera yang jauh. Jika bentuk mukabuminya kasar, ia akan mengambil lebih dari itu. Sebab itu jeneral yang bijak akan memintas bekalan makanan musuh.
(2.11) Master Sun
Jadi apa yang membunuh musuh ialah kemarahan, apa yang diperolehi dari barangan musuh ialah ganjaran.
Zhang Yu » Jika kamu mengapikan semangat pegawai-pegawai dan pasukan-pasukan agar mereka naik berang, lantaran itu mereka membunuh musuh. Jika kamu balas dengan kenaikan pangkat, itu akan buat mereka berjuang atas kemahuan sendiri, jadi barangan (tinggalan) musuh boleh diambil. Justeru itu ada pepatah mengatakan dimana ada ganjaran yang besar disitu ada orang yang gagah.
Du You » Jika rakyat tahu mereka akan peroleh ganjaran yang lumayan jika menewaskan musuh, mereka akan gembira menyertai peperangan
Wang Xi » Ini hanya bermaksud menyediakan ganjaran yang lumayan - jika kamu biarkan mereka merampas sesuka hati, ia mungkin tak terkawal.
(2.12) Master Sun
Lantaran itu, dalam pertempuran berkuda, beri ganjaran pada (mereka) yang pertama (sekali) menawan sekurangnya sepuluh kenderaan berkuda.
Mei Yaochen » Jika kamu beri hadiah (balasan) pada semua orang, ianya tidak akan mencukupi , jadi kamu tawarkan ganjaran sebagai cara untuk menggalakan semua orang.
(2.13) Master Sun
Tukar warna mereka, biarkan mereka bercampur gaul dengan kamu. Layan askar dengan baik, jaga mereka.
Cao Cao » Tukar warna mereka supaya kelihatan sama seperti kamu, biasakan mereka bergaul dengan kamu asalkan tidak membiarkan mereka dengan peralatan mereka sendiri.
Jia Lin » Kamu tukar warna mereka supaya tak dikenali oleh musuh.
Jia Lin » Tentera tawanan harus dilayan dengan baik, supaya mereka boleh bekerjasama dengan kamu.
(2.14) Master Sun
Ini dipanggil mengatasi musuh dan sekaligus menambah kekuatan kamu.
Du Mu » Dengan menawan tentera lawan dan menggunakan bekalan musuh , kamu akan menambah kekuatan .
Mei Yaochen » Bila kamu menawan musuh , beri mereka tanggungjawab bersesuaian dengan kekuatannya, jaga mereka dengan baik, dan mereka akan berkhidmat untuk kamu.
Ho Yanxi » Jika kamu menggunakan musuh untuk mengalahkan musuh, kamu akan tetap kuat tak kira dimana kamu pergi.
(2.15) Master Sun
Jadi perkara penting dalam operasi ketenteraan ialah kemenangan, bukan kegigihan.
Cao Cao » Kegigihan tak mendatangkan faedah. Tentera umpama api - jika kamu tidak padamkan, ia akan membakar dirinya sendiri.
Meng Shi » Apa yang terbaik ialah kemenangan yang pantas dan pulangan yang cepat.
Mei Yaochen » Apa yang tertera diatas, kepantasan amatlah penting. Jika kamu pantas , kamu akan menjimatkan perbelanjaan dan biarkan rakyat berehat.
(2.15) Master Sun
Lantaran itu, kita ketahui pemimpin tentera bertanggungjawab terhadap nyawa rakyat dan keselamatan negara.
Cao Cao » Jika kepimpinan tentera bijak, negara akan selamat.
Mei Yaochen » Ini menerangkan pada kita betapa pentingnya urusan melantik para pemimpin tentera.
Wang Xi » Nyawa rakyat dan kerukunan negara adalah tanggungan para jeneral. Kesulitan untuk mencari hasil dari kepimpinan yang bagus adalah masalah (cabaran) yang berterusan.