14 June 2012

Siapa makan cili,terasa lah pedasnya



Siri 5. Langit nak runtuh

Dahulu ada satu cerita dongeng yang mengisahkan binatang di belantara mendapat khabar langit nak runtuh. Perkhabaran itu disampaikan sang helang. Lantas mendengar khabar itu, segala mergastua dibelantara bekerjasama menggali lubang didalam tanah untuk buat perlindungan.

Semua binatang diberitahu supaya cepat balik dan beritahu yang lain supaya buat lubang untuk berlindung sebab langit nak runtuh. Tiada cara lain nak selamat melainkan berlindung dibawah tanah.

Justeru berita bencana yang bakal tiba itu telah diketahui keseluruh pelosok rimba dan alam mergastua. Tidak kira siapa haiwan pemangsa dan siapa mangsa, mereka saling bekerjasama untuk menyelamatkan diri dari malapetaka ini. Kerjasama ini sesuatu yang luarbiasa kerana mereka bekerjasama untuk meneruskan hirarki kehidupan mereka. Walaupun si rusa yang berganding bahu dengan harimau itu tahu dia mungkin akan dibaham tanpa belas, jika masing-masing terselamat dari malapetaka ini.

Akhirnya, mengikut cerita dongeng itu, runtuhlah langit dan segala mergastua yang berlindung didalam tanah terselamat dari malapetaka. Masing-masing kembali pada hirarki kehidupan mereka. Pemangsa tetap mengejar mangsa. Cerita ini mungkin tercipta puluhan, ratusan atau ribuan tahun dulu.

Dongeng tetap dongeng, hinggalah tiba peristiwa ombak besar tsunami menghentam manusia dan harta bendanya, barulah manusia tahu, cerita dongeng itu bukan dongengan semata.

Apa kah tidaknya, pada hari akan berlaku tsunami itu, segala binatang peliharaan hilang melarikan diri. Burung-burung yang biasa berkicau, senyap, hilang entah kemana. Ayam dalam reban, anjing dalam kandang, resah nak melarikan diri. Gajah peliharaan pun lari naik bukit. Ikan dilaut pun berlumba-lumba naik kedarat, kerana takutkan bencana didasar laut. Kalau binatang darat lari sampai tak cukup tanah, mendaki sampai tak cukup bukit, ikan dilaut pula berenang sampai tak cukup air. Katanya lebih mulia aku mati didarat daripada aku mati dilaut. Sekurangnya manusia tidak hairan aku mati didarat.

Kini ada satu dongeng yang baru muncul. Kononnya ada manusia lain akan datang melawat bumi setelah sekian lama tidak datang singgah melawat. Bolon Yokte nama ketuanya, datang nak melawat legasi yang ditinggalkannya dulu. Kalau dulu si Bolon Yokte ini datang, dia merasmikan upacara, kini dia datang untuk upacara juga, iaitu upacara penutup. Kalau ada perubahan, mungkin si Bolon Yokte ini, selepas dia menutup upacara, dia kena tunggu sekejap untuk membuka upacara yang lain pula. Sibuk juga si Bolon Yokte ini, kononnya, dia sebenarnya wakil utama dari pemerintah kerajaan yang hebat teknologinya. Macam tak ada tempat lain si Bolon Yokte ini nak melawat. Alam semesta yang besar dengan berbillion galaksi ini, bumi yang sebutir pasir ini juga jadi pilihannya.

Jadi, kalau masa langit nak runtuh dulu, mergastua menggali lubang untuk menyelamatkan diri, jadi apa kita nak buat masa si Bolon Yokte ini turun dari langit pula? Bolon Yokte ini bawa sengsara atau bawa gembira?

Dongeng tetap dongeng hinggalah tiba waktunya terjadi.