03 June 2012

Siapa makan cili,terasa lah pedasnya



Siri 3 : Penghulu Raja Rimba

Satu kisah benar terjadi dinegeri gajah putih. Seekor monyet tunggal tiba-tiba ternampak dua ekor anak harimau sedang bergurau. Lama si monyet ini memerhatikan anak harimau hingga dia berasa teruja untuk turut sama bergurau. Namun apa kan daya, si monyet sedar, dia hanyalah monyet yang mungkin jadi bahan terkaman anak harimau itu. Si monyet sedar, walaupun anak harimau itu masih menyusu, tapi kalau dia diterkam, buruk padahnya.

Namun hatinya bergelojak hendak turut bergurau dengan kedua anak harimau itu. Jadi pada suatu hari, dia menunggu ibu harimau pergi berburu. Anak harimau itu tinggal berdua, berbaring dibawah pokok. Dengan berhati-hati si monyet mendekati anak harimau itu dari atas pokok. Sedang ekor anak rimau itu melibas-libas keatas kebawah, si monyet merentap ekornya. Anak rimau terkejut dan bingkas bangun. Si monyet tadi melompat ke dahan yang lebih tinggi, gembira sakan sambil ketawa terkekek pada anak rimau itu.

Anak rimau yang berang itu cuba menangkap si monyet itu, tapi hanya di tertawakan saja oleh monyet yang jauh diatas pokok. Sekali lagi monyet itu datang waktu anak rimau itu sedang leka, kali ini dia dapat memial telinga anak rimau. Begitulah seterusnya, si monyet itu menjadikan kedua anak rimau itu bahan gurauannya. Manakala anak rimau itu rasa terhibur dengan gelagat monyet itu yang melompat terkinja-kinja.




Untuk dijadikan cerita,begitulah seterusnya hari kehari jalinan hubungan si monyet tunggal dan kedua anak rimau itu semakin akrab tanpa diketahui ibu rimau. Setiap kali ibu rimau itu balik kesarangnya, si monyet akan menyorok dicelah-celah dahan pokok yang tinggi sambil memerhati dua-dua kawannya itu dari jauh.

Ibu rimau hairan mengapa tiap kali pulang berburu, kedua anaknya tercungap-cungap keletihan dan mereka begitu banyak menyusu. Dilihat sekeliling tiada apa yang aneh. Fikirnya anaknya itu kuat bergurau.

Pada suatu hari, ibu harimau membawa mangsa tangkapan untuk dijadikan habuan anak-anaknya. Sudah tiba masanya bagi anak-anak rimau makan daging berdarah. Alangkah terkejutnya anak rimau itu , rupa-rupanya seekor monyet mati dibawa oleh ibunya. Dari kejauhan anak rimau itu menjenguk monyet diatas pokok sana tanda simpati. Si monyet, dengan muka hiba, hanya mampu menjengahkan kedua-dua bahunya seolah memberitahu, apakan daya, itulah nasib kami.

Kedua anak rimau memberitahu ibunya mereka tidak mahu menjamah monyet itu. Ibu rimau hairan sambil menegaskan sudah tiba masanya mereka makan daging, lagi pun monyet ini memang patut dibunuh kerana ia haiwan yang jahat dan suka buat kacau.

Kedua anak rimau itu menggelengkan kepala sambil berundur dari bangkai monyet itu.Kedua-duanya membawa diri kepangkal pokok sambil berpelukan seolah menangisi kematian monyet itu. Hari itu berlalu dengan kesedihan.

Hari silih berganti, anak rimau semakin besar remaja. Kepala si monyet kini hanya sebesar telapak kaki anak rimau. Sesekali si monyet naik menunggang ditengkuk rimau itu. Kedua-dua rimau itu suka bila monyet menunggang mereka sebab monyet tolong membersihkan kutu dibadan mereka.Ibu rimau sudah tidak mengambil peduli dengan kehadhiran monyet itu. Elok juga ada monyet ini, tak perlu lah dia nak melayan anak remajanya itu bergurau.

Cerita monyet berkawan dengan rimau telah tersebar ke pelosok belantara. Ada yang percaya ada yang tidak. Pada suatu hari harimau mengajak monyet berjalan-jalan sekitar belantara itu. Katanya, monyet yang tahu jalan-jalan dalam hutan itu, jadi lebih baik monyet ikut serta dan menunjukkan arah. Monyet pun bersetuju, jadi keesokan harinya, kedua-dua rimau remaja itu keluarlah bersama monyet yang menunggang diatas tengkuk mereka. Bergilir-gilir anak rimau itu membawa si monyet yang menunjuk jalan.

Sepanjang perjalanan itu, terpegunlah segala mergastua di belantara itu. Beruk, ungka, rusa, tenuk, unggas, beruang, kijang, harimau akar, musang, ular sawa kehairanan melihat si monyet nenunggang harimau. Semua terpegun dan terdiam. Benarlah cerita yang mereka dengar selama ini.
Sambil menunggang, si monyet memakan buahan yang di capainya sekitar hutan itu. Sambil itu juga dia menuding-nuding kan jarinya menunjukkan arah pada kedua rimau itu. Dia memberitahu si rimau tentang nama flora dan fauna di rimba itu.

Semakin hairanlah segala mergastua di rimba belantara itu. Mana mungkin seekor monyet menunggang harimau, si raja rimba yang garang itu. Lagaknya umpama raja menunggang gajah. Sibuklah penghuni rimba memperkatakan peristiwa itu.

Kini si ,monyet itu dihormati diseluruh pelosok riimba, apakan tidak, bagaimana seekor monyet yang selama ini menjadi bahaman harimau, tiba-tiba boleh menunggang si raja hutan.

Kini, si monyet tunggal itu disanjung. Ramailah yang datang padanya membawa segala macam buah dan makanan. Dahulu tiada siapa mempedulikannya kini dia telah diangkat dan digelar Penghulu Raja Rimba.