31 May 2012

Siapa Makan Cili Terasalah Pedasnya


Siri 1 : Raja Lembong

Pada suatu masa dahulu disebuah negeri disebalik samudera, ada seorang raja yang pintar, pandai bercakap dan berpidato. Bijak memerintah dan menewaskan lawannya. Suka membaca dan menulis syair.
Rakyat menyukai raja sebab negara aman dan banyak pedagang datang berdagang. Rakyat jadi senang dan kaya kerana banyak hasil negeri dapat diniagakan.

Hari berganti bulan, tahun berganti dekad. Pada suatu hari raja buat keputusan yang silap . Baginda telah mengarahkan batu bersurat yang menjadi kemegahan negara dialih ketempat lain. Sedangkan batu bersurat itulah lambang tamadun dan asal usulnya negara tersebut selama ini. Dibatu bersurat itulah tertulis rukun tertib negara.
Batu bersurat itu kononnya hendak dialih ketempat yang lebih selamat. Sebenarnya raja telah mendapat nasihat dari pedagang supaya dialihkan batu bersurat itu sebab tapaknya hendak di buat bangsal barang dagangan.

Ramai rakyat tidak bersetuju namun kuasa ditangan raja. Akhirnya kerja mengalihkan batu bersurat yang berpuluh bongkah itu dilaksana dan diselesaikan.

Sesuatu yang tidak diduga berlaku. Sewaktu kerja pengalihan batu-batu bersurat itu, sebuah batu lagi dijumpai tertanam. Batu itu mengatakan satu perihal peraturan negara yang agung. Ia mengatakan jika raja berbuat salah, ia boleh dihakimi. Perkhabaran ini dimaklumkan pada raja. Raja termenung dan mendiamkan diri.
Bijak pandai dikalangan rakyat telah mengetahui hal ini dan ingin mengambil tindakan terhadap raja kerana tindakan raja mengalihkan batu bersurat itu mencemari warisan kerana dibatu bersurat itulah ditulis rukun tertib negara yang ditulis oleh nenek moyang raja itu sendiri dan boleh menyebabkannya musnah.

Setelah berbagai halangan ditempuhi oleh bijak pandai dikalangan rakyat jelata untuk menghakimi sang raja, maka tiba lah hari yang ditunggu. Dakwaan yang dibuat ialah sang raja dengan sengaja mengarah dan mengalihkan batu bersurat ke suatu tempat yang boleh mengakibatkannya musnah.Pada ketika sang raja hendak berangkat ke dewan hakim, raja tiba-tiba jatuh sakit. Rakyat jelata tertanya-tanya apa penyakit yang tiba-tiba menimpa raja. Nujum istana mengatakan penyakit itu berasal dari negeri atas angin, namanya 'alzhemeir'. Rakyat jelata hairan, tidak pernah didengar nama penyakit itu.

Namun penghakiman tetap dijalankan. Bila soalan diajukan pada raja, raja terdiam dan riak mukanya seolah cuba mengingat sesuatu. Di cuba juga untuk ingat tapi akhirnya raja menjawab 'beta lupa peristiwa mengalih batu bersurat itu'.
Ditanya lagi, berapa bongkah batu bersurat yang diperintah raja untuk dialihkan. Jawab raja 'beta lupa'. Ditanya lagi dengan siapa perbincangan dibuat untuk mengalih batu bersurat itu. Jawab raja 'beta lupa'. Begitulah seterusnya, tiap kali soalan, jawapannya, 'beta lupa'.
Oleh kerana itu, tiadalah hukuman dikenakan kerana raja sudah jatuh sakit, sakit lupa. Ironinya, bertahun sebelum itu, raja pernah menulis sebuah syair berjodol 'Rakyat ku mudah lupa'. Kini, raja pula yang jadi pelupa.

Tidak lama selepas raja turun takhta kerana penyakit lupanya itu, raja sudah mula menulis syair. Ada juga dikalangan rakyat ingin tahu apa kah syair yang ditulis raja. Tajuk syairnya itu 'dukun didalam rumah'. Peliknya syair itu mengisahkan cerita-cerita dan pengalaman raja yang berdekad lamanya. Rakyat tertanya-tanya, apakah raja telah pulih dari penyakitnya?

No comments: