20 April 2011

Sun Tzu: The Art of War


Sun Tzu
The Art of War
(terjemahan Bahasa Melayu)
"The Art of War" karya Sun Tzu ini terbahagi kepada tiga belas bab.Setiap bab akan disiarkan melalui blog
http:\\rainwonder.blogspot.com secara berperingkat.

Pendahuluan
Kerja penterjemahan ini dibuat berdasarkan sebuah buku berbahasa Inggeris yang berada di pasaran. Terjemahan ke bahasa Melayu ini dibuat dengan tujuan untuk berkongsi ilmu strategi perang yang berkurun usianya ini dengan pembaca yang lebih cenderung kepada pembacaan berbahasa Melayu.
Penterjemahan ini dibuat dengan setepat mungkin dengan cuba mengekalkan tatabahasa dan susunan bahasa dari buku asal. Sepertimana karya purba yang lain, gaya bahasa dan ayatnya yang klasik memang agak sukar difahami, perlu diulang baca untuk memahami maknanya.
Susunan bahasa hanya akan diubah supaya dapat menerangkan subjek dengan lebih mudah dan tepat . Tanda kurungan juga digunakan apabila dirasakan perlu untuk sesuatu ayat itu difahami dengan lebih jelas dan mengelakkan kekeliruan dalam susunan ayat.
Manakala ia disebarkan melalui alam siber kerana ia adalah medium yang paling mudah, luas, berkesan dan murah untuk untuk dikongsikan dengan khalayak ramai. Adalah menjadi objektif kerja penterjemahan ini agar dapat kita fahami dan membuka minda kita untuk melihat suasana percaturan politik dunia dan di Malaysia khususnya dengan lebih terarah dan jelas.
Mungkin ini juga adalah satu sumbangan dalam menyokong perjuangan memartabatkan demokrasi di Malaysia.
Pengenalan
Buku "The Art of War" adalah hasil tulisan Sun Tzu, seorang jeneral tentera - pakar strategi - ahli falsafah yang hidup sekitar tahun 544 - 496 S.M. Buku ini ditulis di China lebih dua ribu tahun dulu. Kemudiannya dihuraikan oleh sebelas orang pengulas dari abad pertama hingga abad kedua belas. Satu jarakmasa yang lama dan menunjukan ia sebuah buku rujukan oleh pihak ketenteraan China zaman berzaman.
Pengulas-pengulas tersebut terdiri dari pegawai tertinggi tentera, menteri kerajaan, pegawai penasihat tentera, dan beberapa personaliti yang lain.
Walaupun ianya berkisar tentang ketenteraan dan perang, namun pada intipatinya, prinsip-prinsip yang digunakan adalah relevan kepada politik parti, politik negara, politik antarabangsa, pentadbiran negara hatta dalam dunia perniagaan dan korporat kerana secara falsafahnya, semuanya itu berkisar tentang persaingan, 'pertempuran' dan strategi.
The Art of War juga merupakan satu bacaan wajib untuk 'Marine Corps Professional Reading Programme' diAmerika Syarikat juga bagi untuk program perisikan seperti 'United States Military Intelligent Personnel' juga pegawai Central Investigation Agency (CIA).
Terima Kasih
Mubaraq Abdullah al Rawi



Sun Tzu
The Art of War
(terjemahan Bahasa Melayu oleh Mubaraq Abdullah ar-Rawi)
Sun Tzu
Seni Perang
Bab 1/13

Penilaian Strategik

(1.1) Master Sun
Tindakan ketenteraan adalah penting untuk sesebuah negara- ia merupakan medan mati dan hidup,jejak kelansungan hidup dan keruntuhan, jadi amatlah mustahak untuk menelitinya.

Li Quan » Tindakan ketenteraan adalah musibah. Ia dikira penting sebab ia adalah persoalan hidup dan mati dan ada kemungkinan ia diambil mudah.
Du Mu » Kelansungan atau keruntuhan sesebuah negara dan hidup atau mati rakyatnya mungkin bergantung pada tindakan ketenteraan, jadi amatlah perlu untuk menelitinya dengan berhati-hati.

Jia Lin » Medan bermaksud lokasi, tempat dimana tercetusnya pertempuran - peroleh kelebihan dan kamu terus hidup, terlepas peluang mendapat kelebihan, kamu mati. Sebab itu, tindakan ketenteraan dipanggil medan mati dan hidup. Jejak bermaksud cara untuk mengawal situasi dan memperoleh kejayaan - temuinya, kamu akan terus hidup, gagal menemuinya dan kamu musnah.
Oleh sebab itu, ianya dikatakan amat mustahak untuk diteliti. Ada dokumen silam mengatakan "ada satu cara untuk terus hidup yang akan membantu dan menguatkan kamu; dan ada satu cara kemusnahan yang akan memadamkan kamu dari ingatan"

Mei Yaochen » Samaada kamu hidup atau mati bergantung pada keadaan susunan medan perang; samaada kamu terus hidup atau musnah bergantung pada cara pertempuran.

(1.2) Master Sun
Dengan itu, ukuran di buat untuk lima perkara, gunakan penilaian ini untuk membuat perbandingan lantaran itu lihat pada keadaannya. Lima perkara itu ialah arah, cuaca, bentuk mukabumi, kepimpinan dan disiplin.

Du Mu » Lima perkara harus dinilai - arah, cuaca, bentuk mukabumi, kepimpinan dan disiplin. Ini semua harus dinilai di markas. Pertama nilai diri kamu dan pihak lawan berdasar pada lima perkara diatas dan lihat siapa yang lebih berkeupayaan.

Cao Cao » Penilaian perkara berikut harus dilakukan terlebih dahulu di markas; kepimpinan, pihak lawan, bentuk muka bumi, pasukan, jarak dan kadar bahaya yang dihadapi.

Wang Xi » Buat penilaian pada kepimpinan, alam sekeliling, disiplin, pasukan, pegawai dan sistem penganugerahan dan hukuman.

Zhang Yu » Tuan Guan berkata penilaian harus dilakukan di markas terlebih dahulu sebelum menghantar tentera. Penilaian adalah perkara utama dalam operasi tentera. Ada yang mengatakan (penilaian) operasi ketenteraan harus dilakukan sebaik berhadapan dengan musuh, tetapi Jeneral Cao berkata, penilaian harus dilakukan di markas - ini kerana adalah mustahak untuk mengetahui kebijaksanaan para pemimpin, kekuatan pihak lawan, bentuk mukabumi, dan bilangan pasukan; kemudian bila kedua-dua pihak tentera berhadapan satu sama lain, penerapan (keputusan di ibu pejabat) haruslah dibuat oleh kepimpinan mengikut aturan yang konsisten dengan perkiraan.
Disiplin bermaksud peraturan peraturan mestilah ketat dan jelas. Mengapakah kepimpinan dan disiplin merupakan perkara terakhir dalam senarai lima perkara tersebut ialah kerana sebelum kamu bergerak untuk menyerang mereka yang berbuat salah pada kamu, perkara pertama yang harus dilihat samaada kamu dihargai dan dipercayai oleh orang kamu sendiri, kemudian lihat keadaan samaada cuaca memihak kepada kamu atau sebaliknya, dan kemudian perhatikan bentuk muka bumi. Sebaik tiga perkara itu dipenuhi, barulah seorang ketua dilantik untuk mengepalai ekspedisi. Apabila tentera telah pergi ke perbatasan, kesemua arahan datang dari jeneral.

Wang Xi » Keharmonian dikalangan rakyat adalah perkara pokok dalam
Arah (hala tuju) operasi tetenteraan, cuaca yang sesuai dan kelebihan posisi akan membantu. Dengan adanya tiga perkara tersebut barulah urusan untuk menggerakan tentera memerlukan keupayaan kepimpinan. Kepimpinan yang berkebolehan akan melahirkan disiplin yang bagus.

(1.3) Master Sun
Arah (hala tuju, matlamat) bermaksud menyarankan rakyat supaya mempunyai matlamat yang sama dengan kepimpinan, dengan itu mereka akan berkongsi mati dan hidup tanpa rasa gentar menghadapi bahaya.

Cao Cao » Ini bermaksud membimbing mereka dengan tunjuk ajar dan arahan.

Zhang Yu » Jika rakyat dilayan dengan kemuliaan, kejujuran dan keadilan, kelak mereka akan bersatu pemikiran dan akan senang hati untuk berkhidmat. I-Ching ada mengatakan 'keseronokan dalam kepayahan, rakyat lupa tentang kematian mereka'.

Du Mu » Arah bermaksud (untuk mencapai) perikemanusiaan dan keadilan. Suatu masa di zaman lampau, seorang menteri di sebuah negeri bertanya kepada seorang ahli falsafah politik berkenaan hal ketenteraan. Ahli falsafah itu berkata " perikemanusiaan dan keadilan adalah perkara tunjang yang harus ditadbir oleh kerajaan dengan baik. Apabila kerajaan melaksanakan dengan baik, rakyat akan rasa hampir dengan kepimpinan dan tidak berfikir banyak untuk berkorban nyawa untuknya.

Jia Lin » Jika para pemimpin boleh bersikap kemanusiaan dan
adil, berkongsi susah senang rakyat, kelak anggota tentera akan setia dan secara spontan memahami kehendak pemimpin.

(1.4) Master Sun
Cuaca bermaksud musim.
Cao Cao » Undang-undang ketenteraan zaman silam menegaskan, operasi tidak sepatutnya dijalankan pada musim sejuk atau panas, tanpa menghiraukan keadaan rakyat.

Zhang Yu » Pada zaman silam, ramai tentera hilang jari kerana reput ais sewaktu kempen memerangi puak Huns, dan ramai tentera terkorban disebabkan wabak sewaktu kempen menentang puak-puak di selatan. Ini disebabkan operasi dijalankan pada musim sejuk dan panas.

Wang Xi »
> Inilah maksud kata-kata " Jangan masuk ke wilayah asing pada masa yang tak sesuai"

(1.5) Master Sun
Bentuk mukabumi harus di nilai dalam ertikata jarak, susah dan senang perjalanan, dimensi dan keselamatan.

Zhang Yu » Dalam operasi ketenteraan, adalah penting untuk mengetahui rupa bentuk tanah. Bila kamu tahu jarak perjalanan, kamu boleh merancang untuk perjalanan terus atau laluan singgahan. Bila kamu tahu susah atau senang perjalanan, jadi kamu boleh mengenalpasti kelebihan-kelebihan infantri.
Bila kamu tahu dimensi kawasan, kamu boleh menganggarkan berapa pasukan yang diperlukan, banyak atau sedikit. Bila kamu tahu kadar keselamatan yang ada jadi kamu boleh bertekad samaada untuk bertempur atau bersurai (berundur).

(1.6) Master Sun
Kepimpinan adalah berkenaan kepintaran, keyakinan, keperimanusiaan, semangat dan ketegasan.

Cao Cao » Seorang jeneral harus memiliki kelima-lima ciri tersebut.

Du Mu » Dalam Arah (hala tuju/matlamat) raja-raja silam, perkara utama ialah mempertimbangkan aspek keperimanusian, manakaka ahli seni mempertahankan diri akan mengambilkira kepintaran sebagai perkara utama. Ini kerana kepintaran melibatkan kebolehan merancang dan tahu bilakah masanya untuk menukar (rancangan) dengan berkesan.
Keperimanusian bermaksud kasih dan sayang pada rakyat, peka terhadap kerja keras mereka. Semangat bermaksud merebut peluang tanpa ragu untuk memastikan kejayaan. Ketegasan bermaksud membina disiplin dikalangan anggota dengan hukuman hukuman yang tegas.

Jia Lin » Berharap pada kepintaran sahaja akan menyebabkan pemberontakan. Mengamalkan keperimanusian sahaja akan menghasilkan kelemahan. Taksub pada kepercayaan akan menghasilkan kebodohan. Bergantung pada kekuatan semangat akan mencipta kezaliman. Ketegasan arahan yang melampau menyebabkan kekejaman. Sesiapa yang memiliki kelima-lima nilai tersebut, tiap satu menurut fungsinya dengan betul, maka dia boleh menjadi ketua tentera.

(1.7) Master Sun
Disiplin bermaksud organisasi, turutan kuasa memerintah dan lojistik.

Mei Yaochen » Organisasi bermaksud pasukan-pasukan dikumpulkan dalam cara yang teratur. Turutan kuasa perintah bermaksud kehadhiran para pegawai untuk memastikan pasukan sentiasa bersama dan meneraju mereka. Lojistik bermaksud menjaga bekalan.

(1.8) Master Sun
Setiap jeneral ada mendengar kelima-lima perkara ini. Mereka yang tahu akan berjaya, mereka yang tidak tahu tidak berjaya.

Zhang Yu » Setiap orang ada mendengar lima perkara terebut, hanya mereka yang memahami dengan mendalam terhadap prinsip prinsip penerapan dan keterbatasan (akan) berjaya.

(1.9) Master Sun
Lantaran itu, gunakan penilaian tersebut untuk perbandingan mencari apakah keadaan sebenar. Untuk mengatakan kepimpinan politik mana yang ada Arah? Jeneral mana yang berkemampuan? Siapa yang punya kelebihan terhadap cuaca dan bentuk mukabumi? Disiplin siapakah yang berkesan? Pasukan siapa yang lebih kuat? Pegawai dan tentera mana yang lebih terlatih? Siapa yang punya sistem penganugerahan dan hukuman yang jelas? Dengan cara ini kamu akan tahu siapa yang bakal menang.

Li Quan » Kepimpinan politik yang mempunyi Arah akan pasti mempunyai kepimpinan ketenteraan yang pintar dan berkebolehan.

Du Mu » Tanya diri kamu kepimpinan politik yang mana - kamu punya atau musuh kamu - yang boleh menolak pembodek dan membawa kearah yang bijak.

Du You » Arah bermaksud (untuk mencapai) nilai murni. Amatlah perlu untuk membezakan kepimpinan politik negara yang berperang.

Mei Yaochen » Persoalan berkaitan kepimpinan politik ialah siapa yang dapat memenangi hati rakyat.

Ho Yanxi » Dokumen klasik silam ada mengatakan "Mereka yang bertindak baik terhadap ku adalah pemimpin ku, mereka yang bertindak kejam terhadap ku adalah musuh ku". 
Persoalannya pihak kerajaan mana yang berperikemanusiaan dan pihak kerajaan mana yang kejam.

Zhang Yu » Pertama, bezakan kepimpinan politik negara-negara yang berperang itu dalam ertikata, negara mana mempunyai Arah kemuliaan dan niat yang baik. Kemudian teliti kepimpinan ketenteraan - siapa yang memiliki kepintaran, keyakinan, perikemanusiaan, kegagahan dan ketegasan. Sekarang, perhatikan pihak mana yang mempunyai kelebihan keatas alam sekeliling.

Cao Cao » Buat undang-undang yang tak akan dilanggar, jangan gagal menghukum pesalah.

Du Mu » Apabila merangka undang-undang dan peraturan, semuanya sama tinggi dan rendah, harus dilayan sama rata.

Du You » Bezakan arahan siapa yang lebih berkesan - orang bawahan siapa yang takut untuk engkar (perintah).

Mei Yaochen » Jadikan semua orang sama rata dibawah undang-undang.

Wang Xi » Perhatikan siapa yang dapat membuat undang-undang dengan jelas dan arahan yang mudah dituruti, dengan itu orang akan dengar dan patuh.

Du Mu » Apabila hubungan orang atasan dan bawahan dalam keadaan harmoni, sama gagah dalam pertempuran, itu akan menjadi kekuatan.

Du You » Ketahui persenjataan siapa yang lebih berkesan, pasukan siapa yang dipilih dengan teliti dan terlatih. Seperti yang dikata "Jika askar tidak berlatih setiap hari, (bila berada) di barisan depan mereka akan gerun dan ragu-ragu. Jika jeneral tidak berlatih hari-hari, (bila berada) di barisan hadapan mereka tidak akan tahu bagaimana untuk menyesuaikan (strategi).

Du Mu » Penganugerahan tidak patut melebihi peruntukan, dan hukuman tidak boleh sewenang-wenangnya.

Du You » Ketahui sistem siapa yang dapat memperjelaskan dengan terang berkaitan penganugerahan untuk(mereka) yang bagus, dan hukuman untuk (mereka) yang jahat. Seperti yang pernah disebut " Jika penganugerahan itu berlebihan, akan ada jasa yang tidak mendatangkan rasa syukur. Jika hukuman yang melampau akan ada yang terkorban namun tidak mendatangkan rasa insaf."

Mei Yaochen » Apabila ada orang yang layak menerima penganugerahan, ia harus diberi perhatian segera walaupun secara peribadi kamu tidak menggemarinya. Apabila ada orang yang patut dihukum, ia tidak patut dilengahkan walaupun mereka rapat dengan kamu.

Cao Cao » Dengan menilai ketujuh-tujuh perkara tersebut, kamu boleh ketahui siapa yang bakal menang dan siapa bakal kalah.

Mei Yaochen » Jika kamu dapat tahu keadaan sebenar, kamu akan tahu siapa yang akan berjaya.

Zhang Yu » Jika kamu menguasai kesemua tujuh perkara tersebut, kamu telah menang walau perang belum bermula. Jika kamu ragu-ragu dalam tujuh perkara tersebut, kamu telah kalah walaupun perang belum bermula. Dengan itu memang boleh diketahui pemenangnya sebelum tiba masanya.

(1.10) Master Sun
Selidiki kelebihan - kelebihan dengan mengambil nasihat, kemudian strukturkan kekuatan seadanya, untuk menokok tambah taktik taktik yang luarbiasa. Kekuatan hendaklah di struktur secara strategik, berdasarkan kelebihan-kelebihan yang ada.

Cao Cao » Struktur bergantung pada strategi, strategi ditentukan berdasarkan acara-acara.

(1.11) Master Sun
Operasi ketenteraan melibatkan tipu helah. Walaupun kamu hebat, tunjukan seolah-olah kamu lemah. Walaupun berkesan, tunjukan seperti tidak berkesan.

Cao Cao » Operasi ketenteraan tiada aturan tertentu - ia berjalan secara tipu helah.

Mei Yaochen » Tanpa tipu helah kamu tak boleh mengatur strategi, tanpa strategi kamu tak boleh mengawal pihak lawan.

Wang Xi » Tipu helah bertujuan mencari kemenangan atas musuh; untuk mengepalai satu kumpulan memerlukan keyakinan.

Zhang Yu » Sementara kekuatan adalah realiti, berpura-pura lemah, sementara berani adalah realiti, berpura-pura takut, kaedah ini berkesan semasa mentang puak Huns.

Li Quan » Li Quan menceritakan bagaimana seorang jeneral Dinasti Han memberontak dan menyertai tentera Huns. Maharaja menghantar sepuluh peninjau memerhatikan mereka dan kesemuanya melaporkan serangan boleh dibuat dengan mudah. Maharaja kemudian menghantar seorang Lou Jing, yang melaporkan sebaliknya, Huns tidak mungkin dapat diserang dengan mudah. Bila Maharaja bertanya mengapa, dia menjawab "Bila dua negara dalam keadaan berjaga-jaga, mereka mungkin menyembunyikan kekuatan. Bila saya pergi kesana, semua yang saya lihat ialah orang yang tak berdaya dan orang tua - sudah pasti mereka mampu bersaing namun kelihatan tidak berkemampuan, jadi saya kira tak cukup upaya menyerang mereka". Maharaja menjadi murka. Dia menghukum Lou Jing kerana tidak sependapat dengan baginda, dan baginda sendiri mengumpulkan tentera yang besar. (Akhirnya) Mereka telah diganyang oleh Huns dan terputus bekalan selama tujuh hari. Inilah, apa yang dirumuskan oleh Li makna berpura - pura kelihatan lemah.

Du Mu » Ini berkenaan tipu helah untuk merahsiakan keadaan kamu. Kamu tidak sepatutnya membiarkan musuh melihat keadaan kamu yang sebenar, kerana jika musuh melihat keadaan kamu, pasti dia bertindakbalas. Sebagai contoh untuk ini ialah apabila Huns sengaja membiarkan pengintip melihat orang yang tak berdaya dan orang-orang tua saja.

Du You » Ini apabila kamu benar-benar berdaya saing dan berkesan, berpura-pura kelihatan tak berdaya saing dan tak berkesan, ini akan menyebabkan musuh tidak bersedia.

Wang Xi » Bila kuat, kelihatan lemah. Berani, kelihatan takut. Tersusun, kelihatan kelam-kabut. Penuh, kelihatan kosong. Bijak kelihatan bodoh. Banyak, kelihatan sedikit. Mara, kelihatan berundur. Bergerak deras, kelihatan lembap. Mengambil, kelihatan meninggalkan. Di suatu tempat kelihatan ditempat lain.

Zhang Yu » Bila kamu pergi bertempur, buat seolah kelihatan berundur. Bila kamu bergegas, buat seolah kelihatan tenang.

(1.12) Master Sun
Bila kamu bergerak untuk menyerang tempat berhampiran, buatlah kelihatan seperti kamu buat perjalanan jauh; bila kamu bergerak untuk menyerang tempat yang jauh, buat kelihatan seperti kamu buat perjalanan dekat.

Li Quan » Ini akan membuat pihak lawan dalam keadaan tidak bersedia.

(1.13) Master Sun
Pikat mereka dengan peluang keuntungan, tawan mereka dengan kekeliruan.

Mei Yaochen » Jika mereka tamak, umpan mereka dengan barangan.

Zhang Yu » Tunjukan mereka ada peluang keuntungan sebagai umpan, kemudian serang dan tewaskan mereka.

Du Mu » Apabila musuh keliru, gunakan peluang itu mengalahkan mereka.

Jia Lin » Saya hendakan pengintip (penyelinap) yang licik untuk mengelirukan mereka, kemudian tunggu hingga mereka berada dalam situasi kucar kacir dengan tujuan menjatuhkan mereka.

Jia Lin » Gunakan tipu helah untuk menjerumuskan mereka dalam kekekiruan, pengaruhi mereka sebagai cara untuk menewaskan. Bila negeri Wu dan Yue berperang sesama sendiri, Wu menghantar tiga ribu penjenayah untuk kelihatan kucar kacir sebagai mengumpan Yue. Sebahagian penjenayah itu lari, ada yang menyerah diri; tentera Yue melawan mereka, namun akhirnya (tentera Yue) ditewaskan oleh tentera Wu.

(1.14) Master Sun
Bila mereka mantap, bersedia menentang mereka; bila mereka kuat, elakkan mereka.

Du Mu » Bila kerajaan musuh mantap bermakna ada persefahamam antara pemerintah dan yang diperintah, adanya kesefahaman dan keyakinan dalam sistem penganugerahan dan hukuman, dan juga tentera yang terlatih - jadi kamu harus berhati hati terhadap mereka. Jangan tunggu pertembungan untuk (baru) membuat persediaan. Bila angkatan musuh kuat, kamu harus mengelak untuk sementara waktu, tunggu hingga mereka leka, lihat ruang-ruang yang sesuai untuk diserang.

Chen Hao » Jika musuh tidak goyah, lengkap dan mantap, kamu harus bersedia sebaiknya. Mantapkan barisan kamu juga, sebagai persediaan menghadapi mereka.

Ho Yanxi » Jika kamu lihat kemantapan di pihak musuh, dan tiada ruang kelihatan, dengan itu kamu harus menambah tenaga kamu sebagai persediaan.

Zhang Yu » Pepatah silam mengatakan "Berlawan dengan mereka, kamu akan tahu apa yang banyak pada mereka dan apa yang kurang pada mereka". Banyak bermaksud kemantapan, kurang pula bermaksud adanya ruang-ruang. Apabila kuasa ketenteraan pihak penentang mantap, kamu harus bertindak seolah mereka tak dapat dikalahkan, dan jangan serang sambil lewa. Panduan ketenteraan ada mengatakan, "bila kamu lihat ruang, mara kedepan, bila kamu lihat kemantapan, berhenti".

Jia Lin » Untuk yang lemah mengawal yang kuat, tindakan yang munasabah ialah menunggu sesuatu perubahan.

Du You » Jika gudang mereka penuh dan askar mereka dalam keadaan terbaik, kamu harus beredar untuk melihat ruang dikala mereka bersenang-senang, perhatikan sebarang perubahan dan bertindakbalas keatas mereka.

(1.15) Master Sun
Gunakan kemarahan untuk menjerumuskan mereka dalam kucar kacir.

Cao Cao » Tunggu hingga mereka dalam keadaan yang (moral) merosot dan malas.

Li Quan » Bila kepimpinan tentera kerapkali marah, streteginya akan mudah jatuh dalam kekeliruan, kelazimannya ia tidak stabil.

Du Mu » Bila kepimpinan tentera mereka bengkeng (degil yang aggresif) kamu patut menjengkelkan mereka supaya mereka marah - kemudian mereka akan tergopoh-gapah dan tidak mengendahkan strategi asal mereka.
Mei Yaochen » Jika mereka panas baran, naikkan kemarahan mereka agar mereka pergi dan bertindak cuai dalam pertempuran.

Zhang Yu » Jika mereka ganas dan mudah marah, jatuhkan air muka mereka untuk menaikan kemarahan mereka, dengan itu moral mereka akan jatuh - kemudian mereka akan bertindak dengan cuai, tanpa merangka sebarang rancangan.

(1.16) Master Sun
Merendah diri supaya mereka bongkak.

Li Quan » Jika mereka baik dengan memberi hadiah dan bermulut manis dengan kamu, mereka berkehendakan sesuatu.

Du You » Jika (semangat) mereka membara dan akan membuat tindakan, kamu patut berpura-pura takut supaya semangat mereka naik; tunggu hingga (semangat) mereka kendur, kemudian bergabung dan serang. 

Mei Yaochen » Perlihatkan seperti tidak berkeyakinan dan lemah supaya mereka rasa riak.

Wang Xi » Perlihatkan seperti rendah dan lemah untuk membuat mereka rasa angkuh, lantaran itu mereka tidak bimbang pada kamu, dan kamu boleh serang mereka sewaktu mereka bersenang-senang.

(1.17) Master Sun
Letihkan mereka dengan kejar mengejar. 

Cao Cao » Gunakan ketangkasan untuk memenatkan mereka.

Wang Xi » Ini bermaksud membuat banyak serangan mengejut. Bila mereka keluar, kamu pulang; bila mereka pulang, kamu keluar. Bila mereka pergi ke barisan kiri, kamu pergi ke kanan. Cara ini kamu akan meletihkan mereka.

Zhang Yu » Cara ini, kekuatan kamu akan tetap utuh, manakala kekuatan mereka akan terhakis.

(1.18) Master Sun
Buatkan mereka berbalah sesama sesama sendiri.

Cao Cao » Hantar pengintip untuk menimbulkan pergeseran sesama mereka.

Li Quan » Pecahkan kesepakatan mereka, timbulkan perbalahan diantara kepimpinan dan menteri-menteri mereka dan kemudian serang.

Du Mu » Ini bermaksud, jika kepimpinan dan pengikut pihak musuh mempunyai hubungan yang baik, kamu harus gunakan rahsuah untuk memecahbelahkan mereka.

Chen Hao » Jika mereka kedekut, kamu pemurah; jika mereka kasar, kamu berlembut. Dengan itu akan timbul syak wasangka antara kepimpinan dan pengikut, dan kamu akan dapat memecah-belahkan mereka.

Du You » Pujuk mereka dengan peluang-peluang yang menguntungkan, hantar pengintip dikalangan mereka. Wujudkan ahli retorik yang menggunakan kepetahan bercakap untuk menghasut mereka dikalangan pemimpin-pemimpin dan pengikut, dan pecahkan organisasi dan kuasa mereka.

Zhang Yu » timbulkan pergeseran antara pemimpin dan pengikut, atau antara mereka dan sekutu-sekutunya - timbulkan perpecahan dan tentukan sasaran keatas mereka.

(1.19) Master Sun
Serang dikala mereka tidak bersedia, lancarkan gerakan ketika mereka tidak menyangkanya.

Cao Cao » Serang ketika mereka leka, buat tindakan bila ada ruang terbuka.

Meng Shi » Serang pada ruangan yang ada, serang ketika leka, jangan biarkan musuh sempat untuk bersedia. Ini yang dikatakan dalam operasi ketenteraan apabila tiada bentuk (taktik) tertentu ianya amatlah berkesan. Seorang pahlawan-pemimpin (panglima) hebat berkata "Gerakan yang paling berkesan ialah sesuatu yang tak dijangka, perancangan terbaik ialah rancangan yang tak diketahui oleh orang lain"

(1.20) Master Sun
Aturan dan prosedur yang digunakan dalam ketenteraan tidak sepatutnya diketahui sebelum masanya.

Cao Cao » Diketahui bermakna bocor. Kenteraan tiada aturan yang tetap - adaptasi sebaik berhadapan dengan musuh, tanpa memberitahu apa yang bakal kamu buat selagi masanya belum tiba. Oleh sebab itu penilaian terhadap musuh sentiasa diminda, pemerhatian terhadap situasi sentiasa di mata.

Li Quan » Serang ketika mereka tidak bersedia dan diluar jangkaan dan pasti kamu menang. Inilah intipati seni pertahanan diri, sentiasa berahsia dan jangan bocor (rahsia).

Du Mu » Membocorkan sesuatu bermaksud bercakap mengenainya. Ini bermaksud segala strategi yang disebut sebelum ini untuk menjamin kejayaan tentera tidak semestinya dibuat secara seragam - pertama, lihat susunan musuh, barulah gunakannya. Jangan beritahu apa yang bakal kamu lakukan sebelum tiba masanya.

Mei Yaochen » Disebabkan kamu menerap dan mengaturnya dengan sebaik mungkin di hadapan pihak musuh, bagaimana mungkin kamu boleh bercakap mengenainya sebelum tiba masanya.

(1.21) Master Sun
Sesiapa yang mencatur kemenangan di ibupejabat sebelum pertempuran ialah mereka yang paling banyak mempunyai faktor kelebihan strategik. Sesiapa yang mengandaikan tentang ketidak-upayaan untuk berjaya
(semasa masih) di ibupejabat ialah mereka yang paling sedikit mempunyai faktor strategik bagi pihak mereka. Mereka yang mempunyai banyak faktor strategik akan menang, mereka yang sedikit faktor strategik, tewas - apatah lagi bagi seseorang yang langsung tiada faktor strategik dipihaknya. Memerhatikan dengan cara begini, saya boleh lihat siapa yang menang dan siapa yang kalah.

Zhang Yu » Bila strategi kamu dalam dan berpandangan jauh, apa yang kamu perolehi melalui perkiraan adalah banyak, jadi kamu boleh menang walaupun sebelum berlawan. Jika pemikiran strategik kamu cetek dan dangkal, apa yang kamu perolehi melalui perkiraan adalah sedikit, jadi kamu tewas sebelum bertempur. Strategi yang banyak akan mengatasi strategi yang sedikit, jadi merka yang tanpa strategi tidak boleh, malah akan dikalahkan. Lantaran itu, pernah disebut, pahlawan yang gemilang menang dahulu kemudian baru pergi berperang, manakala pahlawan yang tewas, pergi berperang dahulu baru mencari kemenangan.

No comments: