26 June 2012

Siapa makan cili, terasalah pedasnya


Siri 7. Lawak Berjiran

Disebuah penempatan pinggir pekan, tinggal dua orang tuan tanah yang berjiran. Tanah mereka dipisahkan sebatang sungai. Tanah Mat Kadir diutara sungai, tanah Engku Riduan, lebih dikenali dengan nama Ku Wan pula diselatan.

Jambatan yang menyambung kedua keping tanah itu sudah uzur. Jambatan itu penting pada Mat Kadir dan Ku Wan, sebab bila Ku Wan hendak kepejabat kerajaan diutara, dia kena melintas sungai, manakala Mat Kadir pula perlukan jambatan tu untuk keselatan kalau hendak ke pekan membeli barang keperluan.

Jambatan yang uzur itu, pada asalnya dibina oleh orang tua mereka. Kini jambatan itu harus diganti, namun yang jadi masalahnya Mat Kadir dan Ku Wan tidak berhubungan baik, tidak seperti orang tua mereka yang berkawan rapat.

Masing-masing tak bersepakat samaada nak bina jambatan kayu atau konkrit. Sebab jambatan itu dalam tanah persendirian, sukar lah nak minta bantuan kerajaan. Akhirnya mereka melantik orang tengah menyelesaikan. Kata orang tengah lebih baik dibuat jambatan konkrit, lebih kuat dan tahan lama. Mat Kadir setuju, tapi tidak pula Ku Wan, mahal katanya. Buat jambatan kayu, tapi guna kayu yang bagus, kata orang tengah itu lagi. Ku Wan setuju, tapi tidak pula Mat Kadir, jambatan kayu tak kuat katanya. Orang tengah memberi jalan penyelesaian, Mat Kadir tanggung belanja buat jambatan konkrit, sampai tengah sungai sambung dengan jambatan kayu, Ku Wan pula tanggung belanja. Masing-masing terdiam, masing-masing memandang orang tengah. Baiklah kata mereka berdua.

Mat Kadir beritahu orang tengah dia mahukan jambatannya itu ditinggikan paras melebihi tebing supaya tidak menghalang air jika paras air naik waktu hujan lebat. Orang tengah pula kata Ku Wan tidak mahu dinaikkan paras jambatan. Kata Mat Kadir, selagi jambatan itu dalam tanah dia, ikut suka dialah bagaimana bentuknya. Bagi Ku Wan pula, dia mahukan jambatannya cantik, kukuh dan praktikal.




Mat Kadir mahu jambatan itu dipasang lampu kelap-kelip, Ku Wan pula mahu CCTV dipasang. Jadi bermacam-macamlah kehendak dan kerenah kedua tuan tanah yang harus dilayan oleh orang tengah.

Kerana sebab itulah akhirnya orang tengah yang menjadi juru-runding itu menarik diri kerana sudahlah bayaran yang diterima tidak seberapa, kemudian banyak pula kerenah kedua-dua jiran itu. Jambatan yang sejengkal itu pun nak diperbesarkan jadi lambang ego masing-masing, rungut orang tengah itu.

Akibatnya, tertangguh lah projek jambatan itu. Meloponglah mulut Mat Kadir dan Ku Wan. Cerita tentang pertelagahan ego mereka berdua telah tersebar ke merata pekan. Ramai juru runding tidak mahu berurusan dengan mereka melainkan mereka bersetuju dengan yuran yang tinggi. Permusuhan mereka jadi bualan, kedegilan mereka jadi lawak.



No comments: